Mahathir kembali sertai Umno, serah borang pada najib- malaysiakini
Posted by Skuad Dun Batu CavesMahathir kembali sertai Umno serah Najib borang
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Ali menyerahkan borang kembali sertai Umno kepada Presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini.
Anak mereka Datuk Mokhzani turut menyertai semula parti itu dan menyerahkan borang keanggotaan berserta yuran keahlian RM2 kepada Najib.
Najib yang juga Perdana Menteri berkata, keahlian Dr Mahathir diterima tanpa syarat dan beliau percaya kemasukan bekas Perdana Menteri itu akan memberi rangsangan yang amat kuat dan dapat membantu mengkukuhkan Umno dan Barisan Nasional(BN).
“Saya mengalu-alukan dan mengucapkan selamat kembali kepada Tun kerana sanggup untuk bersama-sama meneruskan perjuangannya melalui Umno.
“Tun ambil keputusan ini kerana Tun akan turun padang pada kempen pilihan raya kecil di Bukit Selambau dan Bukit Gantang. Ini kerana Tun ingin berkempen sebagai ahli Umno dan penyokong BN,” katanya.
Menjelaskan lebih lanjut Najib berkata, kemasukan Dr Mahathir membuka lebaran baru bagi Umno.
“Ini bererti satu episod dalam Umno sudah pun berkahir. Kita anggap ini sebagai satu pembuka tirai kepada hasrat kita untuk melihat pemimpin dalam Umno dulu dan sekarang bersatu untuk menegakkan Umno sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan rakyat di negara ini,” katanya selepas menerima penyerahan borang keahliaan Dr Mahathir dan keluarganya di Seri Satria hari ini.
Najib turut mengalu-alukan kemasukan semula Dr Siti Hasmah kerana jasanya kepada Umno dan negara selama ini sudah tentu dapat membantu peranan wanita di masa hadapan.
Tun Mahathir keluar Umno pada 19 Mei tahun lepas setelah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap parti yang pernah dipimpinnya selama 22 tahun.
Sementara itu, Tun Mahathir berkata, walaupun berada di luar Umno hatinya tetap dalam parti itu.
“Walaupun saya berada di luar Umno, tapi hati saya ada dalam Umno,” katanya.
Beliau menjelaskan, tegurannya kepada parti itu selama ini adalah krtikan yang membina dan bukan untuk menghancurankannya.
“Saya juga berasa gembira dapat kembali kepada Umno dan diterima oleh Presiden Umno sendiri bersama isteri dan anak saya Mokhzani,” katanya.
Ketika ditanya beliau pernah masuk semula Umno di zaman Perdana Menteri kedua Tun Razak Hussein dan kini menyertai semula Umno di zaman Najib, anak Tun Razak, Dr Mahathir secara bergurau berkata: “Itu pakatan kekeluargaan yang tidak disengajakan”.
Dalam pada itu, ketika ditanya sama ada Tan Sri Sanusi Junid akan menyertai Umno kembali, Dr Mahathir berkata: “Saya harap begitulah.”



0 comments:
Catat Ulasan